MASYARAKAT peranakan Baba dan Nyonya merupakan kumpulan komuniti yang tinggal di negeri Melaka. Mereka merupakan masyarakat unik kerana kumpulan ini adalah sebahagian dari kaum Cina tetapi mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.
Masyarakat ini dikatakan telah wujud sejak lebih 600 tahun lalu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka datang untuk berdagang di bumi ini dan kemudiannya berkahwin dengan masyarakat Melayu.
Zaman terus berlalu, jumlah masyarakat Baba Nyonya kini semakin berkurangan. Lebih ironik apabila generasi muda yang sepatutnya menjadi pewaris kini kebanyakannya semakin meninggalkan adat resam dan budaya tinggalan nenek moyang mereka.
Kini bilangan mereka mencecah lebih 600 orang di Melaka, belum lagi dikira bilangan mereka yang berhijrah ke negeri lain khususnya ke Pulau Pinang dan Singapura. Kumpulan kaum minoriti ini menggelarkan diri mereka sebagai Baba Nyonya atau peranakan kerana memiliki dua budaya warisan tradisi Cina yang pada masa sama mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu.
Ia berpunca pada zaman sebelum Kesultanan Melayu Melaka menerusi perkahwinan campur yang berlaku di antara pedagang Cina yang datang berniaga ke Tanah Melayu pada waktu itu yang kemudiannya jatuh cinta dan akhirnya mengahwini wanita Melayu.
Sebab itu, kaum peranakan Baba Nyonya ini mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya. Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakanya mereka masih mengekalkan agama Buddha namun ramai di antara mereka yang memilih agama lain seperti Islam dan Kristian.
Cara masakan Baba Nyonya juga dipengaruhi resipi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.
Generasi Nyonya (perempuan) yang terdahulu sehingga kini masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu yang dikenali sebagai kebaya nyonya.
Sekarang ini, sukar untuk melihat anak-anak perempuan dan wanita dewasa di kalangan kaum itu mengenakan pakaian baju kebaya yang mengikut tradisi asal nenek moyang mereka kerana kebanyakan mereka lebih gemar memakai pakaian moden.
Namun, kehidupan dan pemikiran kaum Baba Nyonya ini masih mengekalkan unsur-unsur masyarakat Cina biarpun mereka telah lama terpisah dari komuniti nenek moyang mereka di China.
Keadaan ini jelas digambarkan menerusi sistem kekeluargaan dan agama yang masihmereka amalkan, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu (zaman sebelum penghijrahan ke Tanah Melayu).
Bagaimanapun, zaman semakin berubah, amalan dan budaya sosial yang diamalkan masyarakat Baba Nyonya semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu






No comments:
Post a Comment